MENU

KUALA TERENGGANU, 13 Feb  -- Meskipun industri pelancongan berhadapan cabaran pandemik COVID-19, Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman (TRZK) berjaya mencatatkan lonjakan 49 peratus pengunjung pada 2020 berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata pada tahun lepas TRZK menerima 114,252 pengunjung berbanding hanya 76,633 pengunjung pada 2019.

“Alhamdulillah walaupun tahun lepas ada beberapa bulan TRZK terpaksa ditutup disebabkan pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) namun apabila PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) dilaksanakan, TRZK menerima kunjungan yang sangat ramai daripada kebiasaannya.

“Tahun lepas terutama pada bulan Julai dan Ogos, kami (TRZK) menerima pengunjung sehingga 3,500 orang sehari, berbanding pada 2019 yang jumlah pengunjung sehari hanya sekitar 200 hingga 400 orang. Sebab itulah jumlah pengunjung melonjak tahun lepas walaupun dengan penularan COVID-19,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, TRZK yang mula dibuka sejak Ogos 2009, kini mempunyai 589 haiwan terdiri daripada 433 spesies burung, 84 spesies mamalia dan 72 spesies reptilia, amfibia serta ikan.

Ariffin berkata kos penjagaan kesemua haiwan tersebut termasuk makanan dan rawatan menelan belanja sebanyak RM52,000 sebulan dengan menggunakan peruntukan daripada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

Selain itu, beliau berkata sepanjang tahun 2020, kerajaan negeri dan MPK telah memperuntukkan sebanyak RM100,918 untuk membaik pulih fasiliti yang terdapat di TRZK.

“Kami sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan secara berkala terhadap fasiliti yang terdapat di dalam TRZK dan akan membaiki kerosakan menggunakan peruntukan yang disediakan MPK dan kerajaan negeri,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan TRZK sebaik PKP kali ini tamat, Ariffin berkata pihaknya akan memulakan aktiviti melihat kunang-kunang pada waktu malam dengan tawaran tiket berharga RM25 bagi dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak.

“Selain itu, bagi menarik lebih ramai lagi pengunjung, tawaran pengurangan harga tiket masuk sebanyak 50 peratus akan diteruskan hingga Jun tahun ini. Tiket menyusuri Sungai Yak Yah juga akan turut diberikan pengurangan sebanyak 70 peratus bagi dewasa dan 80 peratus bagi kanak-kanak.

“Dengan tawaran pengurangan harga tersebut, tiket masuk TRZK bagi dewasa kini berharga RM5 dan kanak-kanak RM3 manakala tiket menyusuri Sungai Yak Yah pula adalah RM5 untuk dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak,” katanya. 

 

-- BERNAMA

Sumber : https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1931149