MENU

10 April 2020 : Enam pasar awam di Kemaman diarah menghentikan operasi pada hari ini bagi membolehkan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) melakukan kerja-kerja nyah cemar sebagai langkah pencegahan penularan coronavirus (Covid-19). Enam pasar yang terlibat adalah Pasar Besar Cukai, Pasar Borong Cukai, Pasar Binjai, Pasar Tani Kekal Kertih (Pasar Awam Sementara), Pasar Air Putih dan Pasar Kuala Kemaman dan LKIM.

Seramai 120 orang anggota terlibat dalam operasi hari ini melibatkan beberapa agensi iaitu Majlis Perbandaran Kemaman, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Majlis Perbandaran Kemaman telah melaksanakan operasi nyah cemar di tempat-tempat awam dan rumah ibadat diseluruh Daerah Kemaman bermula 20 Mac 2020 yang diadakan secara berkala  melibatkan lokasi-lokasi seperti pasar awam, tandas awam, taman rekreasi awam, perhentian bas, rumah ibadat dan premis makanan dan bukan makanan milik MPK.

Bahan nyah cemar yang digunakan adalah Sodium Hypochlorite untuk kegunaan di luar bangunan dan Ethanol (75%) untuk kegunaan dalam bangunan. Kerja-kerja yang dijalankan adalah menyeluruh dan mematuhi garis panduan  penyemburan nyah cemar yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pihak Majlis juga mendapat tajaan bahan nyah cemar menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada Syarikat Malay Sino Chemical Industries Sdn Bhd. Selain itu Syarikat Encompass Industrial Sdn Bhd juga turut menyumbang peralatan PPE iaitu sarung tangan bagi kegunaan anggota semasa menjalankan kerja-kerja nyah cemar. Sumbangan ini dapat digunakan dan dimanfaatkan sepenuhnya sepanjang operasi nyah cemar ini dijalankan.

Selain pasar awam MPK juga memberi tumpuan kepada premis lain seperti pasar raya dan bank. Pihak berkenaan perlu sentiasa memastikan pelanggan mengambil langkah pencegahan jangkitan dengan mengekalkan jarak sosial satu meter antara individu dan perlu melakukan amalan kebersihan iaitu sentiasa mencuci tangan dengan sabun atau handsanitizer.

 

Ke Galeri Gambar