23 September 2017 – Majlis Perbandaran Kemaman melalui Jawatankuasa Pembangunan Sosial Local Agenda 21 telah mengadakan satu Program Kayuhan Mesra 1 Malaysia dengan kerjasama Riders Outfitt Community of Kemaman (ROCK). Perasmian penutup program ini telah diadakan di Tempat Letak Kereta Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman (TRZK).
Terdapat 2 kategori yang dibuka iaitu kategori Endurance (23.6 km) dan kategori VIP (6.3 km). Laluan kali ini sangat mencabar di mana ia melibatkan laluan tanah dan berbatu dalam ladang kelapa sawit dan juga kebun buah. Seramai 277 orang daripada lebih 30 buah kelab basikal seperti CCC, PVCT, KCT, CRCC, GGK, 3K Bike, Nubis, Rabok78, Venator, Jetkings, Route50, Adtec Kemaman, Kemaman Bitumen Company dan juga orang peseorangan telah menyertai program tersebut di mana 196 orang daripadanya berdaftar bagi kategori Endurance.
Program dimulakan dengan sesi taklimat keselamatan yang disampaikan oleh Encik Jamal bin Mohamad (ROCK) dan kemudian acara pelepasan yang disempurnakan oleh Tuan Setiausaha Majlis Perbandaran Kemaman. Peserta yang berjaya menamatkan kayuhan ini telah menerima medal dan juga sijil penyertaan.
Program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada agensi-agensi yang lain iaitu, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, SATU Kemaman, Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman, dan Universiti Malaysia Terengganu. Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran dan pendedahan keindahan alam sekitar serta pada masa yang sama mempromosikan Taman Rekreasi & Zoo Kemaman. Setiap peserta yang berdaftar juga telah menerima kupon diskaun tiket masuk ke TRZK bermula 23 September 2017 hingga 30 September 2017. Oleh itu, mereka yang menyertai program ini boleh membawa ahli keluarga untuk masuk ke TRZK. Secara tidak langsung jumlah pengunjung TRZK sepanjang bulan ini juga akan bertambah.
Program tersebut diserikan dengan beberapa aktiviti sampingan seperti Pertandingan mewarna dan kuiz oleh TRZK, Cabutan Bertuah serta gerai jualan. Sekalung penghargaan diberikan kepada penaja-penaja yang telah memberikan sumbangan bagi program ini antaranya CKJ Engineering Sdn Bhd Kemaman Bitumen Company Sdn. Bhd, Koperasi Warga Kerja Majlis Perbandaran Kemaman, Pejabat Parlimen Kemaman, Kelab Kebajikan dan Sukan MPKemaman (KKSMPK) dan Route50.