MENU

Majlis Perbandaran Kemaman komited melestarikan alam sekitar dengan melancarkan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik Daerah Kemaman 2019 berkuatkuasa 22 November 2019.

Program Hari Tanpa Beg Plastik yang diusahakan oleh Jawatankuasa Zon Modal Insan, Local Agenda 21 ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Melalui program ini, Majlis Perbandaran Kemaman melalui pengusaha pasaraya membantu mengubah tabiat masyarakat ke arah semangat cintakan alam sekitar dengan kaedah meminimumkan penggunaan beg plastik di daerah Kemaman.

Program melalui Projek Local Agenda 21 ini bermula dengan mengumpulkan semua pengusaha pasaraya yang beroperasi di daerah Kemaman, dimana perbincangan secara dua hala dilaksanakan pada 4 November 2019 bagi mengetahui pendapat dan idea-idea baru sebelum pelaksanaan di buat. Dengan kesepakatan yang diperolehi, hebahan mula dibuat dengan mensasarkan semua peringkat masyarakat iaitu kanak-kanak, remaja, dan orang dewasa. Demi memfokuskan keseluruhan masyarakat di Kemaman, hebahan bukan sahaja melalui media sosial seperti facebook, twitter, dan laman web rasmi, tetapi juga bertumpu kepada perhimpunan di sekolah-sekolah, serta khutbah-khutbah Jumaat, disamping edaran fliers kepada pengguna-pengguna di pasaraya.

Dengan hebahan yang telah dilaksanakan dan mengambil kira masyarakat telah bersedia dengan pelaksanaan tersebut setelah hampir 2 minggu hebahan berjalan. Oleh itu, bermula 22 November 2019 semua pasaraya mula tidak mengeluarkan beg plastik kepada para pengguna. Setakat pemantauan secara menyeluruh, alhamdulillah pelaksanaannya pada setiap Jumaat dan sabtu disambut baik oleh para pengguna. 

Jika sebelum ini, pelaksanaan jualan tanpa beg plastik hanyalah disertai dan disokong oleh organisasi-organisasi dan pasaraya-pasaraya besar luar Terengganu seperti Giant, Tesco, SpeedMart, 7-Eleven dan sebagainya, kini pelaksanaan yang menyeluruh kepada semua pasaraya telah berjaya dilaksanakan di Kemaman.

Pelaksanaan kempen ini berpotensi memberi impak yang besar kepada alam sekitar, sekaligus menunaikan saranan kerajaan bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar. Pelancaran yang diadakan di akhir tahun 2019 ini sememangnya memberi pengertian yang sangat bermakna kepada semua rakyat Kemaman. Lebih-lebih lagi ketika kita menegakkan azam dan tekad untuk mengurangkan lebih banyak beg plastik lagi melalui pelaksanaan Hari Tanpa Beg Plastik selama dua hari seminggu di pasaraya-pasaraya di daerah Kemaman.

Sehubungan itu, Kempen Hari Tanpa Beg Plastik telah dilancarkan pada 18 Disember 2019 di perkarangan Pasaraya Tunas Manja, Cukai dengan kerjasama pelbagai agensi lain seperti Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Agama Daerah dan Badan-Badan Bukan Kerajaan di Kemaman seperti EPIC Group, Lembaga Pelabuhan Kemaman, dan Konsortium Pelabuhan Kemaman, memudahkan lagi matlamat kempen ini menjadi realiti.

Melalui program ini, hasrat kerajaan tidak lain dan tidak bukan, adalah bertujuan untuk membantu menyelamatkan alam sekitar. Oleh sebab itu lah, kita sedaya-upaya mengehadkan penggunaan beg plastik, dan mengajak seluruh masyarakat supaya bertukar kepada beg guna semula ketika membeli-belah. Tiada beg plastik disediakan di pasaraya-pasaraya pada setiap Jumaat dan Sabtu, dan tiada caj 20sen disediakan di Kemaman. Ini kerana, caj 20 sen terhadap beg plastik yang dikenakan kepada pengguna tidak akan memberi kesan positif kepada hasrat kerajaan. Berdasarkan kajian, matlamat tidak akan tercapai sekiranya pasaraya masih boleh menjual beg plastik dengan kadar caj tersebut kerana pengguna masih diberi pilihan di pasaraya untuk mendapatkan beg plastik.

 

[Ke Galeri Gambar]