KUALA TERENGGANU, 19 Oktober 2026 – Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) melakar kejayaan membanggakan apabila projek Kijal 360° – Smart Urban Observation berjaya merangkul Gold Innovation Award bagi kategori Pihak Berkuasa Tempatan (Terengganu) sempena Terengganu Smart City Innovation Award 2026 (TSCA.26).
Kejayaan tersebut melayakkan MPK membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000.00 sebagai pengiktirafan terhadap inovasi yang dibangunkan dalam memperkukuh agenda pendigitalan dan pembangunan bandar pintar di daerah Kemaman. Selain itu, projek IGNIS 3R – Smart Waste Management turut meraih Gold Award bagi kategori Industri Terengganu dengan hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.00. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha bersama dalam memperkasa inovasi dan pembangunan bandar pintar di Kemaman.
Anugerah telah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Wan Sukairi bin Wan Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Terengganu kepada Yang Berusaha Tuan Haji Zuwislan bin Awang, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman di Majlis Makan Malam bersempena Terengganu Smart City Activation Day 2026 bertempat di The Langit Duyong Marina Resort. Turut hadir sama Yang Mulia Tuan Sharifah Khairuzita binti Tuan Kechil, Setiausaha MPK bersama pengarah-pengarah jabatan dan pegawai MPK.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen MPK dalam memperkukuh agenda pendigitalan dan pembangunan bandar pintar melalui penerapan teknologi geospatial, inovasi serta pengurusan sisa pintar, selaras dengan aspirasi Kemaman Smart City 2035.
Tahniah kepada seluruh warga MPK dan semua pihak yang terlibat atas pencapaian ini. Semoga kejayaan tersebut menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat serta menyokong pembangunan Kemaman ke arah sebuah perbandaran yang maju, berdaya saing dan lestari.







